
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui kecewa susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain skuad kebangsaan.
Badan induk bola sepak negara itu menyifatkan hukuman yang dikenakan tersebut kelihatan tidak seimbang jika dibandingkan dengan kes-kes serupa yang pernah diputuskan oleh CAS sebelum ini.
“FAM menghormati bidang kuasa CAS, namun FAM berpendapat bahawa hukuman yang dikenakan kelihatan tidak seimbang, terutamanya apabila dibandingkan dengan hukuman dalam kes-kes serupa yang pernah diputuskan oleh CAS. FAM akan menilai perkara ini dengan lebih lanjut setelah keputusan penuh diperoleh.
“Sepanjang prosiding ini, FAM telah menerima tanggungjawab atas kegagalan penyeliaan yang berlaku. Siasatan oleh agensi kerajaan diMalaysia serta FIFA masih sedang berjalan. FAM akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan.
“Keputusan ini amat mengecewakan, khususnya bagi para pemain. Mereka tidak terlibat dalam proses pentadbiran dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara berkaitan pentadbiran.
“Para pemain tersebut adalah warganegara Malaysia yang telah dianugerahkan kewarganegaraan mengikut peruntukan undang-undang di Malaysia,” kata FAM dalam satu kenyataan.

Leave a Reply